Categories
NASIONAL

Seorang lagi disyaki dijangkiti virus rabies

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Seorang lagi pesakit kini dirawat di sebuah hospital di Sarawak selepas disyaki dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila.

Difahamkan, Kementerian Kesihatan ketika ini masih menunggu keputusan ujian kesihatan pesakit itu dan jika positif, dia adalah individu keempat dijangkiti penyakit terbabit.

Keadaan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Terdahulu, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik berumur 4, 6 dan 7 tahun di daerah Serian disahkan dijangkiti rabies.

Dua daripada mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing lebih kurang satu atau dua bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sejarah gigitan anjing.

Pada 4 Julai lalu, dua beradik Jackson Mazlan, 4, dan kakaknya, Monica, 6, dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, meninggal dunia selepas ibu bapa mereka membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayat memandangkan hasil diagnosis mengesahkan mereka mati otak.