Categories
PBT SELANGOR

Larangan kutipan sisa pepejal kontraktor tanpa lantikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 28 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak membenarkan syarikat kontraktor tanpa lantikan sah menguruskan kutipan sampah di bandar raya itu, berkuatkuasa Januari 2018.

MPBJ dalam kenyataannya memaklumkan, ketetapan itu dibuat menerusi pelancaran garis panduan baru pengurusan sampah bagi sektor perkhidmatan kutipan sisa pepejal, di Petaling Jaya.

Menurut kenyataan itu, larangan terbabit dilaksanakan supaya tidak timbul sebarang masalah berkaitan isu pembuangan sampah atau sisa pepejal secara haram membabitkan kontraktor tanpa lantikan.

MBPJ (2)“Masalah timbul disebabkan terdapat pemilik hartanah melantik kontraktor tidak bertanggungjawab dalam menguruskan atau membuat pelupusan sampah ditempat yang tidak sepatutnya.

“Kami mendapati bahawa tapak pembuangan sisa pepejal haram terdiri daripada longgokan sisa pepejal domestik atau pukal berpunca daripada aktiviti perniagaan.

“Justeru, MBPJ memutuskan bermula Januari ini, sektor yang tidak menerima perkhidmatan kutipan sisa pepejal, domestik, sisa pukal dan kebun daripada MBPJ dikehendaki menggunakan perkhidmatan panel kontraktor swasta berdaftar sahaja,” kata kenyataan itu.

Dilaporkan 3,274.44 tan sampah haram direkodkan dengan jumlahnya semakin meningkat, berbanding tahun lalu.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan masyarakat awam jika masalah kutipan sampah oleh kontraktor tidak sah menyebabkan lebih banyak masalah lain timbul, pada masa depan.

Terdahulu, MBPJ melantik 23 syarikat kontraktor swasta sebagai panel kontraktor swasta bagi mengurus kutipan sisa pepejal bandar raya itu.