Categories
PBT SELANGOR

23 panel kontraktor urus sisa pepejal Petaling Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 28 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melantik 23 panel kontraktor bagi menguruskan kutipan sisa pepejal domestik di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pengambilalihan dibuat bagi menjalankan kerja kutipan sampah di premis yang tidak menerima perkhidmatan kutipan daripada mereka.

“Inisiatif ini mampu mencegah insiden pembuangan sampah secara haram dan tidak teratur dilakukan syarikat kutipan sisa tanpa tauliah yang dilantik agensi tertentu. Ia juga dilaksanakan bagi memastikan amalan pengasingan sampah khususnya sampah domestik, pukal, dan berjadual dilakukan di peringkat punca penjanaan.

“Pelaksanaan ini juga membolehkan kami memperoleh data sampah yang dijanakan premis khususnya perniagaan dan perindustrian, di Petaling Jaya,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Lantikan kepada 23 syarikat terbabit di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

MBPJ (3)Mohd Azizi berkata, lantikan itu juga dilaksanakan sebagai komitmen menjadikan bandar raya itu lebih bersih dengan galakan persekitaran hijau yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.

“MBPJ komited ke arah itu dengan bertangunggjawab menguruskan sisa pepejal secara efektif bagi menjadikan bandar raya Petaling Jaya lebih bersih.

“Saya percaya dengan adanya kontraktor ini, pengurusannya akan lebih berkesan selain dapat menangani sebarang masalah yang sudah dikenalpasti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pemilihan kontraktor dibuat berdasarkan keupayaan syarikat menguruskan kutipan sampah, sisa pepejal, domestik, pukal yang dijalankan syarikat berkenaan sebelum ini.

Kontraktor dipilih bertanggungjawab membersihkan kawasan tong sampah dalam lingkungan persekitaran lima meter dan memastikan tiada kotoran di kawasan awam atau ketika pengangkutan kutipan dijalankan.

Selain itu, kotraktor bertanggunggjawab mengemukakan laporan bulanan bagi penilaian MBPJ.