Categories
AGAMA SELANGOR

MAIS peruntuk RM14 juta setahun untuk asnaf Al-Riqab

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 12 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sejumlah RM14 juta setahun bagi memperkasa golongan asnaf Al-Riqab di negeri ini.

Setiausahanya, Dato’ Baktiar Hussin berkata, ia merangkumi perbelanjaan bagi mengurus tiga pusat perlindungan dan pemulihan milik MAIS.

Katanya, ia termasuk Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Pusat Pemurniaan Akidah Baitul Iman (Ulu Yam) dan Pusat Pemulihan Baitul Islah (Serendah).

“Ini merupakan usaha berterusan MAIS bagi memastikan umat Islam yang dibelenggu (Al-Riqab) kembali kepada akidah Islam yang sebenar dan tidak terpesong ke jalan tidak diredai.

“Kita cuma berharap jumlah pelatih dapat terus berkurangan tetapi dalam masa sama MAIS sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam yang perlu kita tangani secara serius,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Hari Kecemerlangan Pelatih Pusat Perlindungan Baitul Ehsan, di sini, hari ini.

Baktiar berkata, MAIS membelanjakan RM2.7 setahun bagi mengurus Baitul Ehsan yang dikhaskan untuk pelatih wanita sahaja.

“Baitul Iman pula khusus diuruskan untuk golongan lelaki di mana kita sediakan pembimbing dan program untuk mereka bersemangat dan bangkit.

“Sementara itu, Baitul Islah dijangka beroperasi dalam tahun ini dan khusus disediakan untuk pesakit kronik HIV (Human Immunodeficiency Virus) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

=EZY=