Categories
NASIONAL

Majikan gaji PATI bakal terima hukuman maksimum

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Majikan yang didapati bersalah menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dipastikan menerima hukuman maksimum, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Katanya, ia bertujuan memberi mesej keseriusan jabatan itu terhadap isu penggajian PATI setelah tempoh secukupnya diberikan kepada majikan mendaftarkan pekerja di bawah program E-Kad yang tamat, pada 30 Jun lalu.

Katanya, sehingga kini seramai 63 majikan dan 3,116 PATI sudah ditahan.

“Majikan yang melindungi PATI berhadapan indakan tegas termasuk denda, penjara dan sebatan.

“Kali ini kami akan pastikan majikan yang degil ini diberikan hukuman setimpal,” katanya lapor BERNAMA.

Ditanya sama ada kesemua 63 majikan yang ditahan akan didakwa dalam masa terdekat, Mustafar berkata, Jabatan Imigresen akan menyegerakan aspek siasatan, namun tempohnya bergantung kepada jenis kes.

mustafarMengulas lanjut berkenaan 3,116 PATI yang ditahan, katanya, 1,183 orang adalah warga Bangladesh, Indonesia (725), Myanmar (240), Vietnam (119), Thailand (111), Filipina (95) dan lain-lain negara (643).

“Kebanyakan PATI yang ditahan adalah dari sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar berkata lebih 30,000 PATI diusir ke negara asal sejak awal tahun ini dengan kebanyakan daripada mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan serta menyerah diri di bawah program 3+1 untuk dihantar pulang ke negara asal.

Pada 1 Julai lalu, hanya 23 peratus daripada sasaran 600,000 PATI di negara ini mendaftar di bawah program E-kad.

Terbaru, seorang majikan yang merupakan pengusaha kedai kek di Subang Jaya, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan mengambil 19 PATI bekerja di premisnya.