Categories
BERITA UTAMA GLOBAL NASIONAL

Malaysia gesa Masjid Al-Aqsa dibuka segera

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 16 JULAI: Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengutuk  penutupan Masjid al-Aqsa pada Jumaat, 14 Julai 2017 oleh rejim Israel.

Dr Wan Azizah berkata penutupan Masjid Al-Aqsa itu menandakan peningkatan ketegangan hubungan di antara Israel dan Palestin.

“Penutupan ini bermakna umat Islam tidak dapat mengerjakan ibadat solat Jumaat di Masjid al-Aqsa buat kali pertama dalam hampir lima dekad.

“Masjid al-Aqsa merupakan masjid ketiga terpenting dan suci bagi umat Islam, dan merupakan juga satu tempat penting dan suci bagi penganut agama Kristian,” kata Wan Azizah dalam kenyataan media.

Beliau berkata walaupun isu keselamatan yang membawa kepada tindakan ini, namun penutupan Masjid al-Aqsa tidak patut dijadikan peluang puak radikal dan militan ekstremis untuk mengembangkan fahaman kejam mereka.

“Oleh itu masyarakat antarabangsa perlu segera mengutuk penutupan ini, dan menggesa agar Masjis al-Aqsa segera dibuka semula,” katanya.

https://selangorkini.my/2017/07/masjid-al-aqsa-ditutup-zionis-dunia-gesa-dibuka-semula/

Sementara itu, Wisma Putra menyatakan tindakan pihak berkuasa Israel itu merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan.

Kementerian Luar menegaskan tindakan provokasi Israel itu merupakan pencabulan terhadap hak umat Islam untuk mengerjakan amal ibadat di tempat suci yang bebas daripada sebarang larangan dan kebebasan beribadat yang merupakan hak dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, kementerian berkata Malaysia mendesak Israel segera membuka semula Masjid al-Aqsa untuk umat Islam dan menghentikan sebarang tindakan yang akan mengubah status quo tempat suci umat Islam itu.

=EZY=