Categories
NASIONAL

Malaysia, Thailand ikrar tingkat kerjasama perangi dadah

CHIANG RAI, 14 JULAI: Malaysia menyatakan penghargaan atas tindakan pantas Thailand menangkap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan sindiket dadah selepas kedua negara itu berjanji untuk meningkatkan kerjasama dalam usaha memerangi dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, Malaysia juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup 55 tan ketum dan 22 kg kokain ke Thailand dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dadah menjadi masalah global dan untuk berjaya dalam memeranginya, kami perlu bekerjasama serta bertukar maklumat perisikan,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Penguatkuasaan Undang-undang Narkotik Malaysia-Thailand Ke-38, di sini, semalam, lapor BERNAMA.

Delegasi Thailand ke mesyuarat itu diketuai Ketua Setiausaha Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Sirinya Sitdichai.

Mokhtar berkata, penangkapan rakyat Malaysia yang disyaki menjadi pengedar dadah oleh pihak berkuasa Thailand menunjukkan kecekapan, ketelusan dan keikhlasan agensi penguatkuasaan negara berkenaan.

mokhtarSementara itu, katanya, pihak berkuasa Malaysia tidak akan membiarkan negara terbabit dijadikan tempat mengimport, mengeksport atau menghasilkan dadah.

Pihak berkuasa Thailand mencatat dua kejayaan penting April lalu apabila menangkap dua rakyat Malaysia yang disyaki bertanggungjawab dalam beberapa cubaan membawa masuk beratus-ratus kilogram dadah ke Malaysia.

Dua lelaki berkenaan, yang dirujuk media Malaysia sebagai “Mr T” atau “Malaysian Iceman” dari Johor dan “Mr G” dari Pulau Pinang, ditangkap di Lapangan Terbang Hatyai dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok selepas pihak berkuasa Thailand melakukan pemantauan rapi.

Sementara itu, Sirinya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia atas usaha menggagalkan cubaan menyeludup 55 tan daun ketum dan 22 kg kokain ke Thailand.

Thailand, katanya, memohon bantuan Malaysia kerana ia memiliki kepakaran dalam memerangi dan menangani masalah penggunaan ketum.

Beliau berkata, oleh kerana Malaysia dan Thailand berdepan dengan masalah berkaitan penyeludupan dadah, maka kedua negara perlu meningkatkan kerjasama bagi memastikan kejayaan mereka dalam memerangi dadah.

Mesyuarat tahun ini sengaja diadakan di Chiang Rai, yang terletak di utara Thailand dan di pinggir Segi Tiga Emas, yang terkenal sebagai kawasan penghasilan dadah.