Categories
KENYATAAN MEDIA

Antara Lee Hsien Loong, Jokowi dan Najib

Integriti Singapura

Kita sudah acap kali berbicara mengenai integriti pemimpin sebuah negara kecil yang terletak hanya di seberang Tambak Johor. Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila berani menjadikan Parlimen sebagai medan muhasabah setelah krisis keluarga beliau menjadi perbincangan umum.

Lee dipuji melangit oleh rakyat Singapura atas keberanian beliau membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk mempersoal mengenai dakwaan kegagalan beliau menuruti wasiat mendiang Lee Kuan Yew berkenaan pengurusan rumah pusaka tinggalan ikon pembebasan Singapura itu. Bukan semata-mata memberi jawapan, tetapi beliau menyediakan proses yang cukup tuntas untuk merungkai kebenaran.

Kesungguhan Jokowi

Terbaru, Presiden Joko Widodo pula diserang oleh media-media utama Indonesia kerana membawa bersama ahli keluarganya dalam lawatan kerja ke Turki dan German pada 5 hingga 9 Julai lalu. Dia disifatkan sebagai gagal mempamerkan kesederhanaan seorang Presiden.

Padahal, semua kos untuk membawa ahli keluarga Presiden itu ditanggung duit kocek Jokowi sendiri. Menurut Menteri Sekreteris Indonesia Prof. Dr. Pratikno, Jokowi tegas untuk memastikan penjimatan wang negara bermula daripada Pejabat Presiden. Malah beliau menolak cadangan untuk menyewa pesawat yang lebih besar meskipun bagi tujuan lawatan rasmi jarak jauh.

3 mukaBegitulah cerita dua ketua negara yang menghimpit negara kita. Alangkah sedihnya apabila kita hanya mampu menceritakan yang indah-indah tentang pemimpin negara-negara orang, sedangkan kita cukup tahu apa yang sedang dibicarakan negara orang tentang pemimpin kita.

Maruah Najib

Mungkin panik akibat asakan banyak pihak ekoran skandal 1MDB, maka Najib sekeluarga menaiki pengangkutan awam dan dihebohkan kepada seluruh Malaysia. Tapi rakyat takkan lupa keluarga yang sama juga pernah menaiki pesawat rasmi kerajaan untuk pergi bercuti di Australia dan Bali. Jika rakyat menanti Perdana Menteri membuka ruang dalam Parlimen seperti yang dibuat Lee Hisen Loong, mungkin hanya berlaku dalam mimpi. Jika rakyat mengharapkan Perdana Menteri menyediakan dialog terbuka bagi menjawab segala tuduhan kepada beliau, seperti sangat mustahil untuk Malaysia hari ini.

Hanya ada satu pilihan, ubah

Oleh itu tiada pilihan lain lagi. PRU14 nanti akan menjadi medan untuk rakyat menutup semua cerita-cerita duka untuk Malaysia. Jika Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, kita khuatir Malaysia akan terus menjadi bahan sindiran masyarakat antarabangsa. Jangan biarkan Malaysia terus dipimpin oleh pemimpin yang tak punya maruah.
Pandangan Peribadi :

Syukri Razab
Setiausaha Pengelola
Angkatan Muda Keadilan Pusat