Categories
NASIONAL

Mangsa kelima rabies di Sarawak meninggal dunia

KUCHING, 24 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa kelima jangkitan virus rabies dari Serian, Sarawak meninggal dunia, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun itu meninggal dunia, pada jam 10.43 malam.

Katanya, lelaki berkenaan disahkan positif virus rabies, pada 18 Julai lalu.

“Penyebab kematian adalah rabies with underlying pulmonary tuberculosis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat lima kes dalam kalangan manusia dilaporkan di Serian yang disahkan positif rabies dan semuanya meninggal dunia.

kkm1Bagaimanapun, katanya, tiada kes baru dilaporkan buat masa ini.

“Sebanyak 20 kawasan dalam tiga bahagian iaitu Serian, Sri Aman dan Kuching diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh Kerajaan Sarawak.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian terlibat,” katanya.

Sehingga 23 Julai lalu, 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di ketiga kawasan terbabit dikesan dan diberikan rawatan lanjut.