Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti politikkan isu SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri meminta isu pengambilalihan konsesi membabitkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tidak dipolitikkan pembangkang di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangkang dinasihatkan tidak mengulangi skrip Ahli Parlimen Tanjung Karang yang menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan yang mahu menaikkan tarif air di Lembah Klang.

Malah, Mohamed Azmin memaklumkan cadangan nisbah 60:40 pengambilalihan SPLASH turut ditolak kerana nilai sebenar pengambilalihan masih belum dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri.

“Kita belum mengetahui nilai pengambilalihan SPLASH dari penilai bebas Kerajaan Persekutuan, jadi bagaimana kita boleh bersetuju? Ini proses keterbukaan, nilai sebenar belum dinyatakan. Mengapa membawa skrip dari Tanjung Karang seolah kita sudah tahu nilainya?

“Tuduhan ini tidak berasas. Apabila nilai itu dimaklumkan, Kerajaan Negeri akan membawa nilai dicadangkan itu ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dipertimbangkan,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS).

AZMIN DNS 2016Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Negeri Permatang, Dato’ Sulaiman Razak.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu maklum balas jemaah Menteri berhubung jumlah nilai pengambilalihan dari penilai bebas yang dilantik Kerajaan Persekutuan.

“Dalam perjumpaan saya dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 18 Julai lalu, saya membangkitkan perkara ini dan beliau beri jaminan akan berbincang dengan Menteri Kewangan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan memutuskan lanjutan keputusan pengambilalihan kepada tempoh enam bulan yang akan berakhir pada 5 Oktober ini ekoran melantik penilai bebas untuk menilai jumlah sebenar.

Pada 30 Mac lalu, Mohamed Azmin memaklumkan kelewatan memuktamadkan pengambilalihan aset dan pengurusan itu memberi tekanan kewangan kepada Air Selangor memandangkan kos operasi seperti kadar bayaran pukal air (Bulk Supply Rate (BSR), Bayaran Tetap Bulanan (Fixed Monthly Payment (FMP)) akan terus dicaj oleh SPLASH.

“Jumlah ini akan meningkat setiap bulan. Sehingga 31 Disember 2016, jumlah tertunggak bagi BSR dan FMP meningkat kepada RM 3.7 bilion.

“Walaubagaimanapun, Air Selangor akan pastikan tekanan kewangan itu diuruskan dengan bertanggungjawab demi menjamin kepentingan pengguna serta tidak membebankan rakyat,” katanya.