Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

MBI sumbang RM30,000 untuk Yayasan Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sejumlah RM30,000 disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated) bagi menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor, bagi tahun 2017.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, sumbangan itu bagi menyokong usaha memberi pengiktirafan kepada pelajar, pendidik dan institusi pendidikan.

“Kerajaan Negeri menerusi MBI akan terus memberikan perhatian, sokongan dan dukungan terhadap bidang pendidikan tanpa mengira jenis atau pengkhususannya.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (12)“Ia termasuk bidang sains, agama, sosial dan teknologi kerana ia semua penting bagi mengisi roh generasi muda untuk berhadapan dengan kehidupan mencabar, pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ‘mock cheque’ kepada Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Zahura Zakry pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2016, di sini, semalam.

Majlis menyaksikan puluhan pelajar, pendidik dan institusi dirai dengan pelbagai kategori seperti Pelajar Terbaik, Pelajar Cemerlang, Guru Penyelaras Terbaik dan Sekolah Terbaik.

Selain sijil dan piala, penerima anugerah turut menerima sumbangan wang tunai dan komputer riba daripada MBI.

Soffan berharap, insentif disumbangkan mampu membakar semangat pelajar untuk lebih fokus dalam pelajaran seterusnya menjadi insan berbakti pada masa hadapan.

“Tahniah kepada penerima anugerah. Diharap kecemerlangan itu turut dizahirkan menerusi budi, akhlak dan luhur pekerti yang baik.

“Bagi yang tidak berpeluang menerima anugerah, usah khuatir dan rendah diri kerana sesungguhnya segala keringat dicurahkan pada jalan menuntut ilmu sudah pasti mendapat balasan baik,” katanya.