Categories
EKONOMI SELANGOR

Rumah Idaman rancak pembinaan kediaman mampu milik

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 4 APRIL: Pelaksanaan Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman) yang dijayakan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bertujuan merancakkan lagi pembinaan rumah mampu milik, di negeri itu.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, rumah adalah keperluan asas yang sangat kritikal kepada rakyat dan menjadi ‘nukleus’ untuk kemajuan ekonomi akan datang.

“Jika rakyat dapat perumahan baik, institusi perbankan juga akan berjalan termasuk perkara yang bersandarkan perumahan akan bergerak sejajar.

“Di peringkat MBI, kita menggunakan dasar Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang menetapkan pemaju untuk menyediakan unit rumah harga kawalan seperti Rumah Selangorku.

“Justeru, kita guna pakai konsep itu untuk mewujudkan Rumah Idaman dan tiada perubahan dari sudut dasar, sebaliknya kita merancakkan lagi rumah mampu milik,” katanya dalam sidang media di Wisma Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), di sini, semalam.

Pada masa sama, Soffan berkata, MBI berhubung dengan semua stakeholder terbabit iaitu Kerajaan Negeri, pemaju dan rakyat berhubung hala tuju rumah mampu milik, di Selangor.

“Kebanyakan pemaju mementingkan keuntungan dalam setiap pembinaan rumah dan perlu melihat aliran tunai untuk membina rumah mampu milik.

“Bagaimanapun, kerajaan harus menggalakkan mereka membina rumah mampu milik. Justeru, kita dapat ruang untuk perkenalkan Rumah Idaman ini,” katanya.

Rumah Idaman menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Setiap unit Rumah Idaman dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Majlis pelancaran program kediaman istimewa itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Kajang 2, Mukim Bandar Batu 18, Semenyih, pada 6 April ini.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

MBI sumbang RM30,000 untuk Yayasan Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sejumlah RM30,000 disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated) bagi menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor, bagi tahun 2017.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, sumbangan itu bagi menyokong usaha memberi pengiktirafan kepada pelajar, pendidik dan institusi pendidikan.

“Kerajaan Negeri menerusi MBI akan terus memberikan perhatian, sokongan dan dukungan terhadap bidang pendidikan tanpa mengira jenis atau pengkhususannya.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (12)“Ia termasuk bidang sains, agama, sosial dan teknologi kerana ia semua penting bagi mengisi roh generasi muda untuk berhadapan dengan kehidupan mencabar, pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ‘mock cheque’ kepada Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Zahura Zakry pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2016, di sini, semalam.

Majlis menyaksikan puluhan pelajar, pendidik dan institusi dirai dengan pelbagai kategori seperti Pelajar Terbaik, Pelajar Cemerlang, Guru Penyelaras Terbaik dan Sekolah Terbaik.

Selain sijil dan piala, penerima anugerah turut menerima sumbangan wang tunai dan komputer riba daripada MBI.

Soffan berharap, insentif disumbangkan mampu membakar semangat pelajar untuk lebih fokus dalam pelajaran seterusnya menjadi insan berbakti pada masa hadapan.

“Tahniah kepada penerima anugerah. Diharap kecemerlangan itu turut dizahirkan menerusi budi, akhlak dan luhur pekerti yang baik.

“Bagi yang tidak berpeluang menerima anugerah, usah khuatir dan rendah diri kerana sesungguhnya segala keringat dicurahkan pada jalan menuntut ilmu sudah pasti mendapat balasan baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

DEIG tolak tawaran pinjaman bank

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tidak menerima tawaran pinjaman daripada sebarang pihak walaupun terdapat beberapa bank terkemuka bersetuju memberinya kepada syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin, berkata tawaran pinjaman itu ditolak selepas Ahli Lembaga Pengarah DEIG menolak cadangan yang dibentangkan pihak pengurusannya.

soffan“Fungsi pihak pengurusan, menyediakan kaedah dan cadangkan kepada pihak pengarah dan untuk itu lembaga pengarah menolak cadangan terbabit.

“Kita ada terima tawaran pinjaman daripada pihak bank. Bila terima tawaran itu, kita kena bincang dengan lebih lanjut tetapi bila dibentangkan, ia tidak diluluskan. Jadi, kita tidak bentangkan dengan lebih lanjut kerana awal lagi dah ditolak lembaga pengarah,” katanya di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, DEIG juga tidak pernah meletakkan sebarang cagaran kepada pihak bank ekoran lembaga pengarah menolak cadangan menggunakan sumber pinjaman itu.

Soffan turut menolak dakwaan Kerajaan Negeri mengarahkan DEIG menggantung operasinya kerana ketika ini syarikat belum beroperasi.

“DEIG belum beroperasi tetapi kita tengah merancang dan melihat apa yang ada dalam MBI,. Kita kena selesaikan segala permasalahan yang kaedahnya pelbagai.

“Bagaimana kita nak hentikan atau gantung operasinya kerana ia memang belum dijalankan,” katanya.

-NFN-