Categories
SELANGOR

MBI taja 2000 keping tiket percuma pameran artifak Rasulullah SAW

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) konsisten melaksanakan tangungjawab korporat menerusi penajaan 2000 tiket percuma sempena penganjuran Pameran Artifak Rasulullah SAW.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, komitmen itu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada masyarakat Selangor merasai pengalaman melihat artifak asli peninggalan Nabi Muhamad SAW secara dekat.

“Program ini sebenarnya dilaksanakan menerusi usahasama Masjid Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor. Namun, MBI memainkan peranan dengan membuat penajaan tiket percuma sebanyak 2000 untuk diagihkan kepada rakyat seluruh negeri.

“Tanggungjawab sosial ini adalah salah satu cara untuk kami di MBI menzahirkan kasih sayang kita kepada rasul yang dicintai ini,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_2101Pameran artifak itu diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, bermula 7 Julai lalu sehingga 9 Ogos ini.

Antara tarikan istimewa pameran ialah pengunjung diberi peluang melihat pedang perang asli, kelengkapan peribadi milik Rasulullah SAW, janggut dan rambut milik baginda serta artifak sejarah peradaban Islam terdahulu.

Pameran dibuka seawal jam 10.00 pagi dan ditutup jam 9.00 malam dengan jualan tiket dijual pada harga RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Bagaimanapun, Mohd Jaafarudin berkata, masyarakat yang ingin mendapatkan tiket percuma boleh melayari laman sosial Facebook dan Instagram, @csrmbiselangor untuk sebarang terma dan syarat penyertaan.

“Anda hanya perlu mengikuti kami di Instagram dan Facebook, ‘tag’ kawan anda kemudian ‘repost’ sekali gus berpeluang untuk mendapat dua tiket percuma bagi menyaksikan pameran ini,” katanya.

IMG_2086Terdahulu, beliau ditemui pada Program Meet and Greet Raqib Majid dan Ustaz Jay (MBI) sempena penyampaian tiket percuma kepada 46 peserta bertuah, di sini.

Sementara itu, peserta Zuraidah Abdullah, 41 berkata, beliau tidak menyangka terpilih untuk menerima agihan tiket percuma sempena penganjuran pameran artifak berkenaan.

“Sekadar mencuba dan tidak sangka dipilih sebagai pemenang memandangkan sebelum ini juga banyak pertandingan di media sosial yang saya masuk.

“Namun, tuah memang memihak kepada saya, apatah lagi memang berminat untuk menyaksikan pameran dan artifak sejarah lama seperti ini,” katanya.