Categories
NASIONAL

Laluan MRT Sg Buloh-Kajang dibuka Isnin ini

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Pembukaan Fasa Kedua MRT (Mass Rapid Transit) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), pada Isnin ini dijangka akan meningkatkan liputan rangkaian rel di Lembah Klang, khususnya bandar Kajang sendiri.

Pengarah Projek Laluan SBK MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Marcus Karakashian berkata, fasa membabitkan 19 stesen itu merangkumi perjalanan bahagian bawah tanah sepanjang 9.5 kilometer (km) dan bahagian bertingkat selatan sepanjang 20.5km.

“Pembukaan fasa kedua ini bermakna keseluruhan Laluan SBK sepanjang 51km siap dibina dan pengguna boleh sampai ke pusat bandar raya Kuala Lumpur seperti Segitiga Emas atau ‘Golden Triangle’ dan kawasan Chinatown dengan mudah menggunakan Laluan SBK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program taklimat kepada media sempena pembukaan keseluruhan laluan SBK di Hotel Le Meridian, di sini, semalam.

Katanya, jajaran SBK yang memulakan operasi serentak dengan pelancarannya itu turut membabitkan tujuh stesen pertukaran.

Marcus berkata, pembukaan laluan itu dijangka akan memberi impak positif kepada masyarakat yang mendiami kawasan penduduk padat sepanjang jajaran terbabit.

“Saya percaya ramai akan menggunakan Laluan SBK dan sudah pasti kami sendiri menggalakkan orang ramai menggunakan mod pengangkutan moden, efisien, boleh dipercayai, selamat dan mesra alam sekitar,” katanya.

Serentak pelancaran itu, MRT turut membuka tujuh kemudahan tempat meletak kereta iaitu di Stesen Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung, Sungai Jernih dan Stesen Phileo Damansara.

PC (12 of 20)-2 PC (16 of 20)-2 PC (13 of 20)-2 PC (9 of 20)-2 PC (5 of 20)-2