Categories
NASIONAL

PATI tidak berdaftar digesa serah diri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih tidak mendapatkan E-Kad digesa menyerah diri bagi mengelak daripada didenda atau dipenjarakan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, mereka yang bertindak menyerah diri dikenakan denda RM400, sementara mereka yang didapati tidak memiliki E-Kad akan dikompaun RM5,000.

Katanya, mereka juga boleh dikenakan denda minimum RM10,000 jika kes dibawa ke mahkamah.

“PATI boleh menyerah diri dan dihantar pulang dengan segera tetapi mereka akan disiasat terlebih dahulu sebelum diusir keluar.

“Di bawah program 3+1, mereka cuma perlu membayar denda RM400 dan seterusnya membeli tiket kapal terbang dan pulang ke negara masing-masing.

“Mereka juga akan disenarai hitam dari memasuki Malaysia bagi satu tempoh tertentu dan boleh mencecah sehingga lima tahun,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian selepas memberi ucapan pembukaan pada majlis taklimat mengenai Kad Pengembaraan Perniagaan APEC, di Kuala Lumpur, hari ini.

mustafarMustafar berkata, tempoh memperoleh E-Kad tidak akan dilanjutkan dan kesesakan di depoh bakal berlaku ekoran proses Ops Khas E-Kad dijalankan hampir setiap hari.

“Namun, proses pembersihan yang dilakukan dengan mempercepatkan siasatan dan tindakan proses pendakwaan atau pengusiran mampu menangani masalah itu.

“Sehingga kini, Imigresen sudah menahan lebih 2,000 pekerja asing dan 44 majikan di seluruh negara sejak tamat tempoh akhir pendaftaran,” katanya.

E-Kad adalah pengesahan sementara pengambilan pekerja asing bagi menggantikan dokumen perjalanan sah dari negara masing-masing dan tarikh akhir pendaftarannya ialah 30 Jun lalu.

Ia diberi percuma kepada majikan dan sah sehingga 15 Februari 2018 bagi membolehkan majikan mempunyai masa mencukupi melengkapkan proses pendaftaran pekerja tanpa izin mereka.