Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saya juga pernah diaudit

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 JULAI: Semua pihak termasuk Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen di Selangor diminta tidak menjadikan proses audit sebagai isu, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, beliau sendiri pernah menjalani proses sama dan meminta pihak berkaitan menghormati prosedur yang sedang dijalankan.

“Saya sudah jelaskan Kerajaan Negeri tidak mengganggu proses audit dan sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan serta keterbukaan.

“Jika Jabatan Audit ingin mengaudit sesiapa pun, proses itu harus dipatuhi tanpa gangguan Eksekutif dan bebas unsur politik.

“Saya kira proses itu harus dihormati kerana saya sendiri pernah diaudit tetapi tidak menjadikan itu sebagai isu kerana ia perlu diterima baik untuk menjamin ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Semalam, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen meluahkan rasa tidak puas hati di laman sosial ekoran tindakan pembekuan peruntukkan dana komuniti bagi kawasan parlimennya.

Mengulas perkara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau harus tampil ke hadapan kepada Kerajaan Negeri jika mempunyai isu berbanding membuat kenyataan kepada umum.