Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peduli Sihat: Jangan cemburu, contohi sahaja Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Skim Peduli Sihat (SPS) yang dilaksanakan pada Januari lalu wajar dicontohi negeri lain ekoran skim terbabit memberi manfaat besar kepada rakyat.

Cadangan itu dilontarkan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi susulan kenyataan menteri besar dari negeri lain yang didakwa ‘kurang senang’ dengan pelaksanaan skim berkenaan.

“Kita ada mendengar menteri besar itu tidak melihat skim ini sebagai satu kejayaan.

“Saya menasihatkan beliau melihat kejayaan ini dan cuba melaksanakan di negeri mereka juga,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan bertangunggjawab sepenuhnya menguruskan sistem kesihatan rakyat membabitkan fasiliti hospital dan klinik.

Pada masa sama, Dr Daroyah berkata, 66 peratus keahlian SPS terdiri daripada kaum Melayu, Cina (14 peratus), India (19 peratus) dan lain-lain (1 peratus).

SPS diwujudkan sebagai penyediaan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250,000 keluarga membabitkan sejuta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.