Categories
NASIONAL

Pendengaran kes Maria Chin ditetapkan 11 Oktober

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 19 JULAI: Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 Oktober ini sebagai tarikh pendengaran bagi memutuskan sama ada permohonan rayuan kerajaan mencabar keputusan mahkamah mengenepikan dakwaan ke atas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah boleh di dengar di sini (Mahkamah Persekutuan).

Shahid Adly selaku peguambela Maria bersama M Puravalen berkata, keputusan itu dibuat panel lima hakim, diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif.

“Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai kuasa mendengar rayuan ini kerana ia berasal dari Mahkamah Sesyen.

“Pada tarikh itu nanti lebih kepada sama ada permohonan (kerajaan) bagi perbicaraan itu boleh di engar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 7 September 2016, Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan terhadap Maria yang didakwa gagal memberi notis kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan, pada Ogos 2015.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika itu memutuskan terdapat merit untuk membenarkan rayuannya bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan pertuduhan berkenaan.