Categories
KENYATAAN MEDIA

Penyelesaian pertikaian di antara UNISEL dan Jana Niaga

Merujuk kepada kenyataan Rizal Mansor yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan berkaitan bayaran yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (Jana Niaga), bekas kontraktor UNISEL, MBI menafikan segala dakwaan atau tuduhan salah laku sama ada oleh MBI ataupun Pengerusinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dan sekiranya terdapat sebarang dakwaan penyelewengan, kami tidak teragak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Oleh itu,kami menggesa sesiapa yang telah membuat dakwaan tersebut untuk menarik semula kenyataan. Perlu diingatkan di sini bahawa pertikaian di antara Jana Niaga dan UNISEL boleh dikesan sejak bermulanya kontrak di antara kedua-dua pihak pada tahun 2003 ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional, dan ia telah berlarutan sejak itu akibat kelemahan kontrak yang telah menyebabkan kesulitan kepada operasi UNISEL.

Rizal mendakwa bahawa penyelesaian pertikaian di antara Jana Niaga dan UNISEL menimbulkan pelbagai persoalan, dan pihak MBI telah membuat bayaran kepada Jana Niaga walaupun pihak kontraktor telah mengingkari perjanjian, dan dalam pada itu telah gagal dalam dua tuntutannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untukmenuntut tunggakan bayaran.

Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali kerana berdasarkan fakta kes, pada Disember 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa Jana Niaga dan UNISEL perlu menyelesaikan pertikaian mengikut proses timbang tara seperti yang diwajibkan di bawah kontrak kedua-dua pihak, dan keputusan ini telah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan pada Julai 2013.

Kedua-dua mahkamah ini tidak pernah memutuskan sama ada pihak Jana Niaga mahupun UNISEL berlaku salah tetapi hanya meminta kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian melalui proses timbang tara.

MBI SelangorDalam pada itu, kenyataannya bahawa MBI telah membuat bayaran sebanyak RM60 juta kepada Jana Niaga adalah dakwaan palsu kerana tiada sebarang bayaran pernah dibuat pada amaun tersebut.

Demi menyelesaikan pertikaian ini, yang telah mengganggu operasi UNISEL, Lembaga Pengarah UNISEL dan MBI bersetuju bahawa perkara ini sebaiknya diselesaikan melalui kaedah penyelesaian pertikaian alternatif di antara kedua-dua pihak.

Oleh itu sebarang bayaran yang dibuat oleh MBI kepada Jana Niaga adalah berasaskan kaedah
penyelesaian pertikaian tersebut serta berdasarkan serta prokol kewangan dan tadbir urus korporat yang tegas.

Sebarang tuduhan salahlaku dan penyelewengan daripadapihak lembaga pengarah adalah fitnah dan kami tidak akan teragak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan tersebut.

MBI sentiasa mengutamakan kepentingan universiti dan terutamanya pelajar, dan ia menjadi asas pertimbangan terpenting sebelum mengambil sebarang tindakan yang melibatkan UNISEL, untuk mengelakkan daripada berlakunya kesan buruk kepada operasi universiti – termasuklah sebarang tindakan yang mungkin diambil oleh kontraktor atau pembiaya kewangannya ke atas hostel dan kemudahan universiti, yang akan memberi kesan kepada kemampuan UNISEL untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajarnya.
Dikeluarkan oleh: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)