Categories
SELANGOR

Tabung Wakaf Syiling KUIS tanam semangat berwakaf

OLEH HAFIZAN TAIB

BANGI, 26 JULAI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melancarkan Tabung Wakaf Syiling bagi meningkatkan kesedaran berwakaf dalam kalangan masyarakat dan mengumpul dana kolej berkenaan.

Dalam kenyataan, Bahagian Zakat, Wakaf dan Infaq KUIS (BZWI) memaklumkan, pelancaran tabung itu disempurnakan Rektornya, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dalam perhimpunan bulanan kolej di Masjid Al-Azhar, di sini, baru-baru ini.

“Tabung Wakaf Syiling KUIS diwujudkan bertujuan menanam, memupuk dan menyuburkan semangat berwakaf dari sekecil nilai sehingga besar, sekali gus meningkatkan kutipan wakaf dari semasa ke semasa.

“Pengumpulan dana Wakaf Ilmu KUIS pula untuk menjalankan program pembangunan di KUIS bagi membina infrastruktur baru, membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sedia ada,” katanya.

Katanya, pelancaran tabung itu dapat mempromosikan Wakaf Ilmu KUIS kepada seluruh warganya dalam menuju gagasan sebuah universiti wakaf.

Pelancaran Tabung Wakaf Syiling KUIS diadakan atas inisiatif Jawatankuasa Wakaf KUIS diketuai Timbalan Rektor (Akademik dan Penyelidikan), Dr Mokmin Basri dengan kerjasama BZWI.