Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

PKNS FC dapat sentuhan Adam Abdullah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JULAI: Pengurusan kelab PKNS FC membuat keputusan merehatkan Ketua Jurulatih skuad Liga Super, E Elavarasan berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi kenyataan, tugas jurulatih akan dipangku pembantu jurulatih, Adam Abdullah sehingga Ketua Jurulatih baharu dikenal pasti, kelak.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan skuad PKNS FC dapat kembali bersaing dan keluar dari zon penyingkiran ke Liga Premier, seterusnya kekal di Liga Super, pada musim 2018.

“Dalam saingan TM Piala Malaysia 2017, pihak pengurusan kelab juga menetapkan untuk layak ke peringkat suku akhir dan seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, Elavarasan menyertai pasukan pada 2015 dan membawa pasukan The Red Ants kembali ke Liga Super 2017 setelah menduduki tangga kedua 100Plus Liga Premier, pada 2016.

Kali terakhir PKNS FC mencatatkan kemenangan dalam kempen Liga Super adalah menewaskan Selangor dan Perak dalam pusingan pertama liga.

Setakat ini, PKNS FC sekadar mencatatkan enam keputusan seri dan kalah selepas 14 perlawanan dengan mengumpul 12 mata.

Terbaru, mereka tewas 2-0 kepada Perak dalam perlawanan pertama Kumpulan B TM Piala Malaysia.