Categories
SELANGOR

Program pelajar Selangor ke Madinah dihentikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI: Tiada cadangan di peringkat Kerajaan Negeri menghantar pelajar di bawah lanjutan pengajian ke Universiti Islam Madinah (UIM), kata Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau berkata, perbincangan akhir Kerajaan Negeri juga menetapkan hanya lanjutan pendidikan dalam negara diberi tumpuan terhadap pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Katanya, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan faktor penularan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah.

“Kerajaan Negeri tidak meneruskan penghantaran pelajar ke Universiti Madinah Arab Saudi bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

“Bagaimanapun untuk pelajar sedia ada, pemantauan berkala giat dilaksanakan Pegawai Hal Ehwal Pelajar Selangor yang berpusat di Mesir.

“Selain itu, wujud juga pemantauan dari Kedutaan Besar di Arab Saudi dan pemantauan melalui persatuan pelajar di Madinah serta hubungan langsung secara maya dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehin Mukyi pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke 13, pagi ini.

Terdahulu, wujud kebimbangan penularan ajaran sesat dari luar negara yang dibawa masuk ke Selangor dan menyebabkan masyarakat awam terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng serta bertentangan dengan fahaman Islam sebenar.