Categories
SUKANKINI

Rekod olahraga kebangsaan sekali lagi lebur

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Kuartet 4×100 meter lelaki negara mempamerkan prestasi konsisten menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam, malam tadi.

Memetik Utusan Online, kuartet negara yang dibarisi Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan mencatat 39.62 saat (s) untuk membawa pulang pingat emas dan melebur rekod lama, 39.67s.

Rekod lama 39.67s sebelum ini dilakukan dalam Sukan SEA 2015 di Singapura menerusi Jonathan, Mohd. Izzuddin Yahya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy.

4x100Pingat perak kejohanan menjadi milik kelab Vietnam, Bo Cong An dengan catatan 40.57s, manakala gangsa diraih satu lagi kelab tuan rumah, Quan doi (41.19s).

Catatan yang ditunjukkan kuartet negara di Vietnam juga satu peningkatan positif kerana dalam Kejohanan Asia mereka mencatat masa 39.98s, di India bulan lalu.

Catatan kuartet negara itu membolehkan Malaysia berada di kedudukan ketiga terbaik rantau Asia Tenggara dalam acara 4x100m, bagi musim ini.

Kedudukan pertama milik kuartet Indonesia dengan catatan 39.13s dilakukan pada April lalu, manakala tempat kedua Thailand yang mencatat 39.38s, awal bulan ini.