Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air laut pasang besar rekod paras tertinggi 20 tahun, keadaan terkawal

SHAH ALAM, 18 OKT: Fenomena air laut pasang besar di Selangor setakat hari ini direkodkan tertinggi sejak 20 tahun lepas, apabila mencatat bacaan ketinggian paras air laut 5.8 meter, pada 6.50 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata fenomena lazim berlaku setiap tahun melanda lima daerah di negeri itu bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11 pagi tadi.

“Berlaku limpahan kecil air di kawasan penempatan berhampiran pantai di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang pagi tadi namun kini ia sudah mulai surut.

“Di Kuala Selangor berlaku kejadian hakisan ban dan benteng di Kampung Sungai Janggut, Jeram dan beberapa rumah telah dimasuki air sehingga paras betis akibat limpahan air laut.

Yap Yong Ho, 22, mengeluarkan air bertakung di dalam kasut ketika menyeberang kawasan halaman rumah beliau yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Klang pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hanya sedikit limpahan kecil juga dikesan melepasi ban atau benteng di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jalan masuk Apartment Budiman, rekreasi pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam, Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata terdapat runtuhan kecil di Ban Kampung Nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri akan melaksanakan pembaikan dalam kadar segera.

“Beberapa kawasan di daerah itu turut dikesan mengalami limpahan air iaitu antaranya kawasan Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Sementa, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong dan Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar,” katanya.

Muhammad Izzat Haziq berkata cuaca yang cerah dan ketiadaan hujan antara faktor yang menyebabkan fenomena air laut pasang di lima daerah tersebut dalam keadaan terkawal.

Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula semalam hingga esok, serta diramal berlaku pada 15 dan 16 November.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laporan audit kesan 214,398 warga asing tiada rekod keluar

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seramai 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas, demikian Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Ini berikutan, Sistem MyIMMs (Sistem Imigresen Malaysia) tidak dapat mengesahkan pergerakan mereka kerana berlaku masalah kegagalan sistem sebanyak 4,489 kali bagi tempoh 2016 hingga 2018.

“Pada pendapat Audit, sistem MyIMMs yang kerap downtime (masa rosak) dan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem boleh menjejaskan integriti data bagi rekod pergerakan keluar/masuk di pintu sempadan negara,” menurut laporan itu.

Laporan itu berkata terdapat 29 patch on sistem lain yang berurusan dengan sistem MyIMMs menyebabkan sistem menjadi tidak stabil.

Berikutan ketidakstabilan itu, terdapat data dimasukkan oleh pegawai seperti pengesahan keluar/masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan oleh sistem atau tidak dapat diintegrasikan dengan sistem MyIMMs.

“Antara faktor warga asing yang masuk ke Malaysia tetapi tiada rekod keluar adalah kerana sistem mengalami masalah integrasi yang menyebabkan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem,” kata laporan itu.

Laporan itu juga mendapati daripada jumlah 214,398 warga asing berkenaan, seramai 5,750 orang disahkan keluar dan 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.

Selain itu, seramai 1,765 orangdiambil tindakan oleh unit penguatkuasaan manakala bagi baki selebihnya seramai 198,479 warga asing tiada rekod keluar.

“Selain itu, sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat tersebut tidak melakukan pergerakan keluar/masuk berulang kali setiap hari (pelawat sempadan),” menurut laporan berkenaan.

Menurut laporan itu, Jabatan Imigresen melaksanakan langkah penambahbaikan bermula Mac tahun ini bahawa proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.

Semakan Audit selanjutnya, mendapati daripada 214,398 rekod warga asing berkenaan, pihak Audit memilih 300 warga asing sebagai sampel.

“Berdasarkan sampel itu, selain daripada tiada rekod keluar, pihak Audit turut mendapati warga asing berkenaan tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan iaitu dari 121 hingga 1,087 hari.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Rekod olahraga kebangsaan sekali lagi lebur

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Kuartet 4×100 meter lelaki negara mempamerkan prestasi konsisten menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam, malam tadi.

Memetik Utusan Online, kuartet negara yang dibarisi Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan mencatat 39.62 saat (s) untuk membawa pulang pingat emas dan melebur rekod lama, 39.67s.

Rekod lama 39.67s sebelum ini dilakukan dalam Sukan SEA 2015 di Singapura menerusi Jonathan, Mohd. Izzuddin Yahya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy.

4x100Pingat perak kejohanan menjadi milik kelab Vietnam, Bo Cong An dengan catatan 40.57s, manakala gangsa diraih satu lagi kelab tuan rumah, Quan doi (41.19s).

Catatan yang ditunjukkan kuartet negara di Vietnam juga satu peningkatan positif kerana dalam Kejohanan Asia mereka mencatat masa 39.98s, di India bulan lalu.

Catatan kuartet negara itu membolehkan Malaysia berada di kedudukan ketiga terbaik rantau Asia Tenggara dalam acara 4x100m, bagi musim ini.

Kedudukan pertama milik kuartet Indonesia dengan catatan 39.13s dilakukan pada April lalu, manakala tempat kedua Thailand yang mencatat 39.38s, awal bulan ini.