Categories
GLOBAL

Suhu panas melampau landa Eropah, England terpanas dalam 40 tahun

LONDON 1 JULAI: Faktor perubahan iklim disifatkan sebagai punca utama berlakunya cuaca panas melampau sepanjang bulan ini khususnya di sekitar Eropah.

Agensi Berita BBC NEWS melaporkan menurut saintis selain Britain, beberapa negara Eropah lain khususnya di sebelah barat termasuk Portugal, Perancis, Switzerland dan Belanda juga berdepan fenomena yang sama ketika ini.

Fenomena itu turut menjadi penyebab kepada insiden kebakaran hutan di Portugal yang meragut banyak nyawa selain menyumbang kepada tragedi kebakaran di Grenfell Tower di barat London baru-baru ini.

panasAkibat cuaca panas yang melampau itu juga, kira-kira 1,500 penduduk di Sepanyol dikatakan terpaksa membatalkan percutian masing-masing dan dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Britain pula dikatakan berdepan cuaca paling panas sepanjang bulan ini iaitu menyamai situasi yang pernah berlaku pada 1976.

Berdasarkan kajian, purata suhu sepanjang bulan Jun didakwa tiga darjah celcius melebihi suhu normal khususnya di bahagian barat Eropah.

Perancis mengalami waktu malam paling panas pada 21 Jun lalu dengan suhu direkodkan purata mencecah 26.4 darjah Celcius manakala suhu dicatatkan di Heathrow, England pada hari sama pula mencecah 34.5 darjah celcius.

Suhu itu difahamkan paling tinggi pernah dicatatkan di Britain untuk bulan Jun dalam tempoh 40 tahun berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Belanda turut merekodkan suhu paling panas sepanjang bulan Jun ini manakala Switzerland pula dikatakan mencatat suhu kedua tertinggi dalam tempoh lebih satu abad iaitu sejak 1864.

=EZY=