Categories
NASIONAL

#teddy4hug pupuk sifat ehsan kanak-kanak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SERDANG, 27 JULAI: Buat julung kalinya Malaysia Islamic Children’s Fair (MICF) bersama Pusat Kebajikan AnNajah Selangor melancarkan projek kebajikan iaitu #teddy4hug bagi membina sifat ehsan dalam diri kanak-kanak kepada saudara lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurriyat Venture Sdn Bhd, Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata, inisiatif itu diadakan sebagai aktiviti kemasyarakatan untuk mendidik kanak-kanak bersifat prihatin dan kasih sayang khusus kepada saudara muslim, di Syria.

MICF (1)“Projek #teddy4hug iaitu kanak-kanak perlu membawa mainan mereka yang berbentuk ‘teddy bear’ atau ‘plush toys’ untuk didermakan kepada kanak-kanak di kem pelarian Syria bertempat di Calais, Perancis.

“Oleh itu, digalakkan orang ramai untuk hadir ke MICF tahun ini bagi menyokong usaha murni ini,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran MICF 2017, di Dewan D, MAEPS Serdang, di sini, hari ini.

Lily berkata, projek itu mendapat sokongan daripada amaxMall iaitu sebuah pusat beli-belah dalam talian yang mensasarkan lebih 7,000 produk tempatan.

Selain itu, kartun popular Didi & Friends turut memberi sokongan kepada kempen ini apabila turut memberi sumbangan barangan mainan untuk dihantar kepada kanak-kanak pelarian Syria.