Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan jejas penduduk Acheh

JAKARTA, 27 JULAI: Asap tebal ekoran kebakaran hutan di Acheh, Indonesia yang berlarutan sejak minggu lalu memaksa puluhan penduduk wilayah itu mendapatkan rawatan akibat mengalami masalah pernafasan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Beberapa sekolah di Meulaboh juga terpaksa ditutup sejak semalam susulan asap tebal kebakaran yang sehingga kini memusnahkan lebih 70 hektar hutan di kawasan itu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara itu juga dilaporkan meminta petani di kawasan berkenaan mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka di ladang masing-masing atau membuka ladang baharu dengan membakar hutan.

achehMenurut agensi itu, kebakaran hutan dikhuatiri semakin buruk berikutan cuaca kering yang dijangka berlarutan selama beberapa bulan lagi.

Memetik BERNAMA, berdasarkan laporan, terdapat kira-kira 180 titik panas dikesan membabitkan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia, namun jumlah itu jauh lebih rendah berbanding titik panas yang dikesan ekoran kebakaran hutan, pada tahun 2015.

Mengikut kajian yang dibuat dua universiti dari Amerika Syarikat iaitu Universiti Harvard dan Universiti Columbia pada tahun lalu, pencemaran asap yang berlaku pada 2015 dipercayai menjadi punca kematian kira-kira 100,000 bayi pramatang.