Categories
SELANGOR

Tiada kompromi buli

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 25 JULAI: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) tidak akan berkompromi dengan budaya buli, sekali gus mahu pelatih kolej bebas dari gejala negatif itu.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, budaya tidak sihat itu perlu dihentikan serta-merta bagi menghakis imej sinonim perbuatan terbabit dengan institusi pengajian tinggi.

“Budaya ini perlu dihentikan kerana bukan sahaja masa depan mangsa buli boleh terjejas tetapi pembuli turut berdepan masa depan gelap.

“Saya mahu pelatih INPENS bebas dan menjauhi budaya ini,” katanya pada program Bual Bicara Budaya Buli dan Tular Media Sosial, baru-baru ini.

Program terbabit diadakan sebagai komitmen INPENS yang tidak mahu berkompromi dengan budaya buli.

Pada masa sama, Ahmad Zabri berkata, pihaknya komited menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan mendidik pelatih supaya mempunyai jati diri serta modal insan cemerlang.

“Kita mahu melahirkan belia negara yang bukan sahaja berkemahiran dan menjadi pilihan majikan,” katanya.