Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu pembangunan potensi belia aktif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap dasar pembangunan potensi bagi mewujudkan penglibatan belia aktif di Selangor, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Kebudayaan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, penumpuannya membabitkan 10 teras utama sebagai panduan kepada program pembangunan Selangor.

“Ia melibatkan keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan organisasi, kemasyarakatan, jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.

“Bagi merealisasikannya, di bawah portfolio saya ditubuhkan juga ditubuhkan Penggerak Belia Tempatan bagi melahirkan kepimpinan berdaya saing untuk menjadi agen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

“Agen perubahan ini diharap mampu menjadi jentera pelaksana bagi pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dasar berkaitan program pembangunan belia di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke 13.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) juga giat melaksanakan program pembangunan baru untuk galakan penglibatan belia dalam program sukarelawan dan kebajikan di negeri ini.

“Setakat ini Kerajaan Negeri tiada angka jelas berhubung penglibatan belia dalam program sukarelawan dan kebajikan ini.

“Namun saya yakin jumlahnya baik berdasarkan penglibatan akar umbi dalam program belia di peringkat akar umbi,” katanya.

=EZY=