Categories
SUKANKINI

ARRC: Zaqhwan bermula positif

SHAH ALAM, 12 OGOS: Mohd Zaqwan Zaidi memulakan Pusingan Empat Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) dengan aksi positif setelah mencatat masa terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan bebas Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, semalam.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mencatat masa 1’31.076s pada sesi pertama sebelum memperbaiki catatan kepada 1’30.649s pada sesi latihan kedua.

Zaqhwan terus memperbaiki aksi dengan mencatat masa terpantas 1’30.509s pada sesi ketiga, namun masih gagal memperbaharui catatan terpantas litar, 1’29.630s milik Gerry Salim yang dilakukan pada musim lepas.

zaqhwan in action at Sentul“Kami memulakan hari pertama dengan baik. Jentera dan juga seluruh pasukan melakukan persiapan yang sempurna. Secara keseluruhan saya agak berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pada hari ini.

“Cuma keadaan litar tidak begitu baik. Permukaan jalan lebih teruk berbanding tahun lepas dan menyukarkan saya untuk mengatasi catatan milik Gerry,” katanya.

Pelumba tuan rumah, Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) mencatat masa kedua terpantas, 1’30.512s diikuti rakan sepasukan, Azlan Shah Kamaruzaman ketiga dengan masa 1’30.573s. Pelumba wildcard Malaysia, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Racing) mencatat masa peribadi terbaik 1’32.318s.

Dalam saingan Asia Production 250cc, pendahulu keseluruhan, Gerry Salim (Astra Honda Racing Team) mencatat masa terpantas 1’42.767s diikuti rakan sepasukan, Rheza Danica Ahrens dengan masa 1’43.476s dan Reynaldo Chrisantho Ratukore (Yamaha Racing Indonesia) ketiga, 1’43.671s.

Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar (Yuzy Honda Vietnam Racing) muncul pelumba terbaik negara yang layak ke sesi Superpole dengan catatan kedua terpantas, 1’49.914s di belakang pelumba tuan rumah, Richard Taroreh (Yamaha Yamalube Jasti Putra Usaha Jaya NH 549 Kaboci) yang mencatat masa terpantas 1’49.860s dan Owie Nurhuda (Yamaha Yamalube KYT TJM Racetech Racing Team) ketiga, 1’50.243s.

Keputusan Latihan Bebas

SuperSports 600cc
1. Mohd Zaqhwan Zaidi (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing 1’30.509s
2. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1’30.512s
3. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1’30.573s
4. Taiga Hada (JPN) Rama Honda by NTS T.Pro Ten 10 (Honda) 1’30.742s
5. Decha Kraisart (THA) Yamaha Thailand Racing Team (Yamaha) 1’30.858s

Asia Production 250cc
1. Gerry Salim (INA) Astra Honda Racing Team 1’42.767s
2. Rheza Danica Ahrens (INA) Astra Honda Racing Team 1’43.476s
3. Reynaldo Chrisantho Ratukore (INA) Yamaha Racing Indonesia 1’43.671s
4. Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 1’43.936s
5. Tomoyoshi Koyama (JPN) RAMA Honda 1’44.137s

Underbone 150cc – Kelayakan
1. Richard Taroreh (INA) Yamaha Yamalube Jasti Putra Usaha Jaya NH 549 Kaboci 1’49.860s
2. Azroy Hakeem Anuar (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 1’49.914s
3. Owie Nurhuda (INA) Yamaha Yamalube KYT TJM Racetech Racing Team 1’50.243s
4. Md Izzat Zaidi Salehan (MAS) RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang Racing 1’50.653s
5. Md Haziq Md Fairues (MAS) Uma Racing Yamaha Maju Motor 1’50.821s