Categories
NASIONAL

Batalkan RNAA, pertahan KTM sebagai warisan negara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Malaysia (RUM), menggesa perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) dibatalkan kerana ia didakwa bakal mengancam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Presiden RUM Abdul Razak Md Hasaan menyifatkan RNAA sebagai ‘idea miskin’ yang diilhamkan Kementerian Pengangkutan.

“RNAA perlu dibatalkan kerana kewujudannya menjadi sebahagian ancaman meruntuhkan warisan negara.

“KTMB adalah adalah untuk kepentingan rakyat dan negara. Kalau tidak dipertahankan, KTMB akan semakis terhapus sejak kewujudannya hampir 130 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbincangan meja bulat RUM mengenai KTM dan RAC di Bilik Taklimat 1, Bangunan Sementara Parlimen bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN).

RNAA adalah perjanjian antara KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang memiliki 38 pekerja di mana semua aset tanah serta keretapi lokomotif (rolling stock) KTMB akan dipindahkan kepada RAC.

Ia dijangka dimuktamadkan penghujung tahun ini dan dilaksanakan bermula Januari 2018.

Difahamkan, KTMB mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM855 juta sejak 2009 hingga 2015 kerana harga tiket rendah dan kontrak perolehan yang mahal.

Kesilapan pengurusan pembayaran kontrak penyelenggaraan keretapi pernah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada 2013.

Menurutnya, sekiranya PAKATAN berjaya meneraju negara, beliau mengharapkan semua kakitangan akan diserapkan kembali sebagai penjawat awam seperti yang dinikmati sebelum ini.

Mengulas perkara sama Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan KTMB perlu dipertahankan sebagai satu warisan pengangkutan awam yang wujud lebih 100 tahun lalu.

“Kerajaan perlu menimbang semula cadangan pengambilalihan aset dengan mengembalikan semula (aset) kepada KTMB untuk membangunkan hartanah sebagai salah satu usaha meringankan benanan kos mereka.

“KTMB juga boleh meneroka bidang baru seperti perkhidmatan kargo menggunakan keretapi bagi meningkatkan semula pendapatan meraka untuk kekal mampan,” katanya.

Beliau menyifatkan RAC tidak menguntungkan kerana mengalami kerugian terkumpul RM372 juta selain tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk menguruskan aset termasuk tanah bernilai RM36 bilion.

“PAKATAN menawarkan perjanjian lebih adil kepada KTMB dan 6,000 pekerjanya termasuk membatalkan RNAA antara RAC dan KTMB.

“Kita mahu aset di RAC dipindahkan kepada KTMB sebagai cara memaksimumkan nilai tersebut serta mengakaji semula kos dan kesesuaian Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) memandangkan aset di bawah ECRL tidak akan dimiliki RAC ataupun KTMB.

“Selain itu, tander terbuka perlu dilakukan untuk semua pembelian aset dan perkhidmatan serta tidak menswastakan KTMB,” katanya.
=EZY=