Categories
GLOBAL

Eropah terus dilanda gelombang panas, anggur terjejas

GLOBAL 6 OGOS: Suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius melanda sebahagian besar kawasan selatan dan timur benua Eropah yang berdepan dengan gelombang haba dikenali sebagai Lucifer.

Lucifer telah mengakibatkan berlakunya kebakaran hutan di beberapa buah negara Eropah selain mencetuskan amaran tentang keadaan cuaca dan juga menyebabkan kemusnahan tanaman, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Itali dan rantau Balkan merupakan kawasan terjejas teruk dengan bahang panas itu dengan kawasan di utara sehingga ke selatan Poland menyaksikan agensi cuaca Eropah mengeluarkan amaran tahap merah kepada 10 buah negara.

Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh setakat ini dengan masing-masing satu kes di Romania dan Poland tetapi banyak penduduk telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami strok haba dan masalah yang berkaitan.

heatDi Albania, sebanyak 300 anggota bomba dan tentera bergelut untuk mengawal 75 kebakaran hutan dengan kerajaannya telahpun meminta bantuan kecemasan daripada Kesatuan Eropah (EU).

Anggota bomba di Serbia, Bosnia, Macedonia dan Croatia juga dilapor sedang sibuk memadam kebakaran hutan.

Dengan suhu dijangka kekal sekitar 40 darjah Celsius sehingga minggu depan, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai meningkatkan pengambilan air.

Manakala sukarelawan Palang Merah di seluruh Eropah melawat golongan gelandangan dan warga emas serta mereka yang mungkin berdepan bermasalah itu.

“Keadaan panas melampau yang berpanjangan agak berbahaya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan asma, serta warga emas dan kanak-kanak.

“Oleh itu, agak penting bagi orang ramai minum air dengan banyak dan mengelakkan diri daripada matahari,” kata penyelaras kesihatan bagi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Eropah, Jeya Kulasingam.

heat1Berikutan cuaca panas, para pengeluar minuman wain di Itali bertindak memetik anggur lebih awal berbanding tarikh kebiasaan sebelum 15 Ogos.

“Kebanyakan buah anggur terjejas dengan cuaca ini dan ia mungkin sudah kering,” kata pengasas pergerakan Slow Food, Carlo Petrini.

Selain itu, pihak berkuasa Itali mengeluarkan amaran tentang cuaca panas melibatkan 26 buah bandar termasuk pusat pelancongan Venice dan Rom.

Sementara itu, di Hungary, Zoo Budapest terpaksa menyediakan bongkah ais yang besar bagi menyejukkan dua ekor beruang kutub di premis terbabit.

=EZY=