Categories
NASIONAL

Fahaman ateis jejas aqidah, JAWI pantau umat Islam

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 OGOS: Mana-mana pihak yang didapati menyebarkan fahaman ateis yang disifatkan bertentangan dengan Islam boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah.

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdul Aziz Jusoh berkata, ajaran ateis atau lain yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak diterima dalam Islam, malah ia juga bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

“Peruntukan aspek perundangan di Wilayah Persekutuan menyebut penyebaran ajaran ateis boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

JAWI LOGO“Kita mahu orang ramai turut membantu menyalurkan maklumat berkaitan penyebaran ateis di negara ini dalam usaha mengekang kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Aziz berkata, JAWI akan memantau rapi pergerakan kumpulan itu atau mana-mana pihak yang mempunyai kecenderungan melanggar perundangan Islam di Malaysia, khususnya di sekitar ibu negara.

Tindakan itu dijalankan susulan laporan di media sosial berhubung dakwaan sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan pada 3 Ogos lalu.

Kumpulan itu dipercayai terdiri daripada bangsa Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’ serta didakwa mengadakan pertemuan secara tertutup.