Categories
SELANGOR

Festival Kesenian Orang Asal Selangor 2017 meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OGOS: Lebih 7,000 pengunjung hadir memeriahkan Festival Kesenian Orang Asal Selangor 2017 (SIIAF) di Taman Botani, baru-baru ini.

Bertemakan ‘Cultivating The City’, festival itu menampilkan puak pribumi dari negara seperti Filipina, Bangladesh, Vietnam dan Indonesia serta disertai suku tempatan dari Selangor, Kelantan, Johor dan Perak.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, penganjuran kali ketiga itu bertujuan berkongsi budaya dan cara hidup komuniti orang asal di Selangor dengan suku kaum lain di seluruh dunia.

“Sejak SIIAF pertama diadakan pada 2015, kita mahu terus memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan orang asal, sekali gus berkongsi cara hidup bersama suku kaum lain di Malaysia.

“Orang asal adalah permata negeri dan kepentingan mereka tidak boleh diabaikan, justeru kami mahu menjaga warisan ini dengan harapan mewujudkan Selangor sebagai pusat pelancongan bagi budaya orang asal,” katanya yang merasmikan festival SIIAF, baru-baru ini.

Elizabeth berkata, walaupun suku pribumi mungkin komuniti kecil, namun hubungan sejarah mereka berakar umbi dan memperlihatkan cara hidup yang pernah menjadi dominan di dunia.

Photo 1Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, Selangor sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan warisannya perlu mengetengahkan budaya serta cara hidup orang asal ke seluruh dunia.

“Salah satu suku kaum asli, Mah Meri adalah tarikan utama kami di Pulau Carey dan kaum ini diketengahkan The Lonely Planet sebagai kampung pilihan di Selangor.

“Ini adalah batu loncatan untuk Selangor menyerlahkan kampung budaya suku kita ke seluruh dunia,” katanya.

SIIAF memfokuskan kepelbagaian jenis persembahan, pameran kebudayaan dan kesenian berkait kehidupan masyarakat Orang Asal.

Festival itu menampilkan pelbagai persembahandalam misi mencapai objektifnya memperkenalkan serta mendidik masyarakat berkenaan kebudayaan juga warisan penduduk pribumi dan menjadikan Selangor sebagai hab pelancongan.