Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan perlu tingkat kecekapan pengurusan ubat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menggesa Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembangunan sistem teknologi maklumat (IT) bagi memastikan pengurusan ubat lebih cekap.

Pengerusi PAC, Datuk Sri Hasan Arifin berkata, dalam isu Pengurusan Bekalan Ubat di Klinik Kesihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipanggil memberikan penjelasan pada prosiding yang bermula, pada 7 Disember 2016.

Dalam prosiding berkenaan, PAC Parlimen membangkitkan isu ubat lewat dibekalkan dan penguatkuasaan denda serta penyimpanan stok ubat berdasarkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 21 November 2016.

Ubat Moden“Jawatankuasa ini berpuas hati dengan penjelasan diberikan Kementerian Kesihatan terutama bagi aspek penambahbaikan dalam penyimpanan stok ubat serta kawalan dalam perolehan ubat,” katanya dalam kenyataan.

Antara syor yang dikemukakan PAC Parlimen adalah Kementerian Kesihatan diminta mengambil tindakan Jabatan Audit Negara (JAN) mengisi kekosongan jawatan di Bahagian Audit Dalaman KKM bagi mengukuhkan kawalan dalaman dan pengurusan ubat.

Katanya, prosedur kewangan juga perlu sentiasa dipatuhi terutama dalam aspek perolehan, pentadbiran kontrak dan pengurusan bayaran serta meningkatkan aspek pemantauan prestasi pembekal.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga perlu mempertingkatkan publisiti dan kesedaran dalam kalangan rakyat bagi mengelakkan pembaziran ubat.