Categories
EKONOMI SELANGOR

Formula Selangor boleh lonjak ekonomi Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pertumbuhan pendapatan Kerajaan Persekutuan mampu ditingkatkan ke tahap lebih baik jika formula Kerajaan Negeri digunakan dalam urus tadbir di Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah berkata, hal itu terbukti apabila kadar purata pertumbuhan pendapatan tahunan Selangor, pada 2015 dan 2016 berada pada paras 10.4 peratus setahun berbanding persekutuan yang menyusut kepada 0.6 peratus.

Katanya, Selangor turut menganggarkan kadar pertumbuhan pendapatan kerajaan pada kadar 13 peratus berbanding 0.8 peratus di persekutuan, pada tahun ini.

“Ini bermakna Selangor mampu merangka inisiatif penjanaan pendapatan baru seperti kutipan hasil lebih baik, tiada rasuah dan ketirisan ataupun melabur dalam pelaburan yang memberikan pulangan lebih baik.

“Selangor juga selalunya memperuntukkan peratusan perbelanjaan pembangunan tahunan jauh lebih besar daripada persekutuan yang mana pada 2017 dilonjakkan kepada 52 peratus daripada jumlah perbelanjaan tahunan berbanding 18 peratus sahaja di peringkat persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

fahmi_ngahBeliau yang juga Timbalan Pengarah Unit Penyampaian Smart Selangor itu menjelaskan, formula yang digunakan pimpinan Kerajaan Negeri berjaya menampakkan hasil apabila Selangor hari ini mampu mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi jauh lebih baik.

Katanya, jika formula sama disertakan tadbir urus baik, pimpinan Kerajaan Negeri mampu melaksanakan pembangunan lebih baik untuk Malaysia jika Putrajaya berjaya ditawan.

Ketika ditanya prospek kadar pertumbuhan pendapatan Selangor pada 2018, Fahmi sekali lagi meluahkan keyakinan beliau terhadap kemampuan Selangor mencatatkan pertumbuhan pendapatan sihat.

“Saya yakin kadar pertumbuhan lebih baik mampu dicatatkan untuk 2018 dan tahun mendatang jika Kerajaan Negeri berani melaksanakan pelaburan dalam industri baru seperti bioteknologi, e-dagang, halal, ‘smart cities’ dan aero angkasa,” katanya.