Categories
NASIONAL

Kaji mekanisme poligami, jamin institusi keluarga

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Wanita Pakatan Harapan menggesa satu mekanisme dikaji dalam melaksanakan poligami berteraskan keadilan khusus kepada wanita terbabit.

Ketua Angkatannya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun kebenaran isteri pertama bukan satu kemestian, namun persetujuannya satu syarat penting menjamin kerukunan institusi kekeluargaan.

Katanya, kebenaran daripada isteri pertama akan dapat memastikan hak mereka dan anak seperti nafkah juga kebajikan terjamin serta tidak diabaikan.

“Selain itu, satu undang-undang mesti digubal bagi memastikan lelaki itu mampu dari sudut kewangan dan kesaksamaan untuk mengahwini lebih dari seorang isteri,” katanya dalam sidang media, semalam.

Pada masa sama, Zuraida berkata, wanita Pakatan menolak undang-undang yang menekan hak wanita atas alasan remeh.

Beliau percaya terdapat langkah lain yang boleh digunakan untuk memastikan perkahwinan didaftarkan tanpa menggugat hak wanita lain.

zuraida-kamarudin“Ia sekali gus memastikan undang-undang digubal selari hukum syarie sedia ada.

“Keadilan dalam institusi wanita dan keluarga perlu diangkat serta dijaga supaya wanita sentiasa dimartabatkan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, negeri itu akan menyelaraskan undang-undang Syariah untuk hanya memaklumkan isteri pertama jika suaminya berkahwin di luar negara dan persetujuan isteri pertama tidak diperlukan.

Undang-undang yang bakal digubal ini bagi memastikan perkahwinan kedua didaftarkan.

Di samping itu, Kerajaan Kedah juga berusaha mengurangkan denda jika gagal mendaftarkan perkahwinan kedua iaitu antara RM300 hingga RM400 berbanding RM3,000 sebelum ini.