Categories
PBT SELANGOR

Jaga etika & integriti, usah leka guna media sosial

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Warga kerja Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diseru untuk sentiasa menjaga etika dan integriti serta tidak hanyut dengan kecanggihan teknologi semasa.

Yang DiPertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, setiap kakitangan perlu mengutamakan amanah dan tugasan sebagai penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Dalam kita berdepan dengan era digital, kakitangan MDKL tentunya tidak dapat lari menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube, Blog, Whatsapp dan aplikasi lain.

“Diseru warga MDKL berusaha menjadikan kecanggihan era digital ke arah lebih baik dan mendahulukan tugas diamanahkan berbanding perkara tidak berfaedah serta berkepentingan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan.

MDKL-660x471Beliau dilapor berkata demikian pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Bertempat di Kompleks Sukan MDKL, majlis berkenaan disaksikan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah.

Mohamad Zain berkata, MDKL juga sudah menubuhkan Unit Integriti pada Januari 2015 bagi memastikan urus tadbirnya dilaksana secara efektif dan pelaksanaan nilai integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional.

“Ia juga bagi memastikan prosedur tatatertib dilaksanakan dengan telus dan selaras dengan kaedah Pekerja (kelakuan tatatertib),” katanya.

=EZY=