Categories
NASIONAL

Kenapa LHDN tidak siasat anak Najib dan Abdullah?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak menyiasat anak tiri perdana menteri, Riza Aziz dan menantu bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin dipersoalkan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, LHDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti ‘tidak nampak gajah besar’ di depan mata, namun Badan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) jelas melihat kesalahan itu.

Katanya, Riza yang terkenal di luar negara terlalu muda untuk memiliki kekayaan besar berbanding peniaga veteran yang sudah lama berkecimpung dalam dunia korporat.

“Adakah kerana Khairy adalah Menteri Kabinet dan Riza dari dalam kumpulan keluarga yang masih berkuasa, maka mereka memiliki kekebalan tertentu di mata pihak berkuasa?

“Kenapa memilih bulu dan sasar hanya dari keluarga yang sudah tidak lagi berkuasa?” soalnya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, LHDN dan SPRM juga mengetahui kerja harian keluarga Datuk Seri Najib Razak dan Abdullah termasuk nilai harta dimiliki, berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

Raja_Kamarul_Bahrin_Shah2Semalam, LHDN bertindak menyerbu syarikat milik Mokhzani, namun tiada maklumat berkenaan tempat kejadian atau firma terlibat.

Beliau turut mempersoalkan tindakan LHDN itu ekoran tekanan setelah mendapat gesaan daripada menteri kabinet Umno untuk menyiasat keluarga Dr Mahathir.

“Adakah ia suatu kebetulan sahaja atau LHDN juga SPRM menerima tekanan daripada Umno seperti dikatakan orang ramai (iaitu) menerima arahan dengan sahutan saya yang menurut perintah,” katanya.

Malaysiakini melaporkan syarikat berkenaan dipercayai milik Mokhzani yang disenaraikan antara individu terkaya di Malaysia.

Serbuan itu berlaku selepas gesaan dibuat daripada beberapa menteri Umno seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz bagi menyiasat kekayaan keluarga Dr Mahathir.