Categories
SELANGOR

Ketirisan dana PAWE, apa garis panduan Putrajaya?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 2 OGOS: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail mempersoal kepincangan membabitkan pengurusan kewangan program Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PAWE) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 1.

Beliau berkata, wujud kelonggaran berhubung garis panduan sedia ada di peringkat Putrajaya apabila dana kewangan program terbabit tidak disalurkan mengikut ketetapan piawaian.

Katanya, bantuan geran RM95,200 disalahgunakan dengan memberi pinjaman kepada penyelia dan badan bukan kerajaan yang menguruskan pusat berkenaan.

“Bagaimana perbelanjaan sebegitu besar nilainya tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan begitu mudah diluluskan?

“Malah terdapat lebihan belanja RM46,733 dengan perbelanjaan itu tidak mempunyai permohonan,” katanya dalam kenyataan.

RodziahBeliau berkata demikian mengulas pendedahan LKAN berhubung skim bantuan geran program kebajikan berkenaan yang disalahgunakan bagi tujuan peribadi dan aktiviti persatuan.

Rodziah berkata, peruntukan itu wajar disalurkan secara tepat tanpa wujud salah laku atau ketirisan.

“Selepas teguran audit dilakukan, saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan segala kelemahan diperbaiki segera supaya lebih cekap, akauntabel dan telus dalam melaksanakan urus tadbir serta memikul amanah rakyat.

“Walaupun nilai atau jumlah ditegur pihak audit tidak mencecah jutaan ringgit, namun ketirisan yang berlaku tidak boleh dikompromi langsung,” katanya.

PAWE adalah kemudahan bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) membabitkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan agensi lain.