Categories
SUKANKINI

Klinik Boling RSS cungkil bakat OKU

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 38 Orang Kelainan Upaya (OKU) menyertai Klinik Boling Sukan Untuk Semua di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program tersebut dijayakan bagi memberi peluang masyarakat khususnya golongan terbabit menceburi bidang sukan.

“Usaha dalam membantu golongan ini ceburi sukan setelah melihat kejayaan atlet OKU di Malaysia yang mampu menyinar dan mengharumkan negara di temasya sukan antarabangsa.

“Oleh itu, kita melantik seorang jurulatih dari JAB Bowling Academy, Mohd Razif Abu Bakar untuk melaksanakan 18 program tahun ini dengan menyasarkan penglibatan 972 peserta dari seluruh Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Fauzi berkata, 26 peserta lelaki dan 12 peserta wanita daripada Kelab Tenpin Boling Para Bersatu yang menyertai program kali ini didedahkan kepada asas permainan disamping mencari bakat baru.

Program tersebut turut disertai tiga atlet boling OKU Selangor iaitu Noor Lizah Salman, Zahidin Sharif dan Rosheedey Faizal Roslan yang merupakan skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Para Asian 2018 di Palembang, Indonesia pada November ini.