Categories
NASIONAL

KPN bersara 5 September ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan bakal bersara bulan depan, selepas 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Memetik BH Online, beliau memaklumkan tidak akan menyambung kontrak perkhidmatan selepas genap berusia 60 tahun, pada 5 September ini.

“Tempoh perkhidmatan saya akan tamat pada usia 60 tahun, pada 5 September ini.

“Ini keputusan saya sendiri. Sudah sampai masanya saya berehat,” katanya.

Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 dan pernah menyandang pelbagai jawatan antaranya Ketua Polis Negeri Sembilan, pada 2005, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Polis Selangor, pada Jun 2007.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, pada 2010 serta kemudiannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.