Categories
GLOBAL

Lebih 2,000 terperangkap kebakaran hutan

LISBON 20 OGOS: Kebakaran hutan mengakibatkan 2,000 penduduk di sebuah perkampungan di Portugal terperangkap kelmarin, kata beberapa pegawai tempatan.

“Adalah mustahil untuk penduduk keluar dari Macao kerana api yang marak dan asap tebal,” kata pemimpin Kampung Macao, Vaco Estrela kepada agensi berita Lusa.

Kebakaran hutan itu tercetus petang Selasa lalu dan semakin marak pada hari berikutnya. Menjelang pagi kelmarin, api telah mengelilingi kampung itu.

“Api terus marak,” tambahnya, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Satu kebakaran besar memusnahkan antara 80 hingga 90 peratus kampung tersebut pada hujung Julai lalu.

Seorang jurucakap Agensi Pertahanan Awam Portugal, Patricia Gaspar berkata, kebakaran baharu itu memaksa perkhidmatan kecemasan memindahkan kira-kira 130 orang dari beberapa perkampungan berdekatan.

Namun, pasukan bomba paling bimbang mengenai kebakaran di sekitar Macao yang terus marak dan merebak, katanya.

Sementara itu, kebakaran hutan yang berlaku mendorong kerajaan mengisytiharkan darurat bencana di tengah dan utara negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Constanca Urbano de Sousa menyalahkan individu yang sengaja melakukan kebakaran dan kecuaian manusia sebagai punca kebanyakan kebakaran hutan yang berlaku pada musim panas di Portugal.

=EZY=