Categories
NASIONAL

Malaysia kecam serangan di utara Rakhine

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 OGOS: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar di utara Rakhine, Myanmar, pada 25 Ogos lalu.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia sangat bimbang dengan serangan terbabit yang akan menyebabkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa dan pemindahan penduduk.

“Kami menggesa kerajaan Myanmar menangani situasi itu secara adil dan saksama menurut prinsip antarabangsa serta perlindungan hak asasi manusia yang turut terkandung dalam Piagam ASEAN juga Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN,” katanya.

Kenyataan itu juga menggesa akses kemanusiaan diberi kepada mereka yang terjejas ekoran pertempuran terbabit.

Wisma Putra turut mengingatkan semula berkenaan resolusi diterima Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC berkenaan Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar, pada 19 Januari lalu.

24-12-pray-for-rohingya-remy“Resolusi itu menzahirkan kebimbangan berhubung keganasan dan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap minoriti Islam Rohingya.

“Ia menggesa Myanmar menghapuskan punca konflik dan mengambil langkah berkesan bagi mencegah krisis itu daripada bertambah buruk,” katanya.

Semalam, polis menahan 44 warga Rohingya yang melakukan perhimpunan haram di hadapan bangunan Lembaga tabung Haji (TH) di Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, mereka ditahan kerana cuba melakukan provokasi ketika diminta polis untuk bersurai selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar.

Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut menyeru semua jemaah haji di Mekah khususnya dari Malaysia berdoa dan bersolat hajat memohon kesejahteraan serta perlindungan etnik Rohingya.