Categories
SELANGOR

MBI salur RM650,000 bantu mangsa banjir

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU LANGAT, 8 OGOS: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menyumbang RM650,000 bagi membantu 1,000 mangsa yang terjejas ekoran banjir di Hulu Langat, pada Ramadan lalu.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM500 dan barangan keperluan harian RM150.

Katanya, bantuan itu tanda peduli dan prihatin Kerajaan Negeri terhadap penduduk yang ditimpa musibah.

“Walaupun jumlah diberikan tidak dapat menggantikan nilai barangan dan kerugian dialami, namun sumbangan ini salah satu tanda Kerajaan Negeri tidak melupakan rakyat yang berada dalam kesulitan.

“MBI dan Kerajaan Negeri akan sentiasa cakna dan peduli kepada keperluan semasa rakyat di Selangor khususnya serta terus memberi bantuan sewajarnya,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, satu majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir fasa ketiga membabitkan 536 mangsa diadakan di Kampung Dusun Nanding, di sini.

Bantuan itu disampaikan Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.