Categories
PBT SELANGOR

MBPJ rujuk London, Sweden dan Denmark

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadikan bandar raya utama dunia sebagai rujukan dalam menyediakan pelan induk ‘universal design’ yang mula dirangka, pada 2015.

Datuk Bandar, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MBPJ sedang meneliti amalan London dalam menetapkan dasar ‘access policy’ rancangan tempatan dan menggunakan garis panduan terperinci untuk dipatuhi di peringkat kawalan pembangunan.

Katanya, Stockholm, Sweden dan Copenhagen, Denmark juga mempunyai garis panduan serta ‘universal design’ terperinci yang sesuai dijadikan rujukan MBPJ bagi pelaksanaan projek di Bandaran Kelana Jaya, Pusat Bandar Seksyen 52 dan Pusat Bandar SS2.

azizi-mbpj“MBPJ akan bekerjasama dengan golongan dan individu bersesuaian dengan perkara ini dalam proses menyediakan pelan induk ‘universal design’.

“Kita juga akan menyediakan ‘mapping’ bagi kawasan berhalangan di Petaling Jaya dan strategi untuk menjadikan ia boleh akses kepada semua,” katanya ketika ucapan aluan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di sini, baru-baru ini.

Azizi berkata, MBPJ sudah menjalin kolaborasi dengan bandar raya utama dunia lain seperti Kota Bandung, Indonesia; Asan City, Korea Selatan; Qing Yuan, China dan SeongBuk-Gu, Korea Selatan.

Katanya, kerjasama dijalin bagi mempelajari amalan baik negara berkenaan sebagai rujukan MBPJ dalam pelbagai perkara.

“Untuk masa hadapan, MBPJ juga akan bekerjasama dengan bandar raya Osaka dan Tokyo bagi aspek keselamatan, kesihatan pekerjaan dan alam sekitar,” katanya.