Categories
NASIONAL

Rakyat muak tangkapan tanpa tuduhan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Rakyat sudah muak dengan tangkapan tanpa tuduhan yang sering berlaku membabitkan agensi penguatkuasaan negara terutama dalam kes orang berjawatan tinggi.

KEADILAN menegaskan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad harus dibawa ke muka pengadilan untuk mengenal pasti sama ada terdapat rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan ketika menerajui agensi itu.

Ketua Biro Felda dan Perladangan KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya mengalu-alukan tangkapan ke atas Isa walaupun ramai beranggapan beliau perlu ditangkap lebih lama.

shamsul-iskandar-mohd-akin“Cuma yang lebih penting bukan penangkapan sahaja.

“Sekiranya mempunyai bukti yang kukuh dan prima facie, beliau sewajarnya didakwa untuk menunjukkan bahawa perdana menteri (Najib Razak) benar-benar serius memerangi rasuah walaupun beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB dan isu lain,” katanya dalam kenyataan.

Isa di reman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembelian hotel di Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) yang didakwa dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran dan menyebabkan kerugian.

Shamsul berkata, kerajaan diingatkan tidak bermain wayang dengan membuat siri tangkapan tanpa diheret ke muka pengadilan.

“KEADILAN juga berharap supaya skandal lain membabitkan FELDA seperti kerugian FGV juga mendapat perhatian SPRM untuk mencari dalang yang merugikan agensi itu dan peneroka,” katanya.