Categories
SELANGOR

Merdeka bukan sekadar kibar Jalur Gemilang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata tetapi merangkumi pembebasan diri, jiwa dan pemikiran terpasung.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemikiran dan jiwa rakyat tidak sepatutnya dipenjara kembali sehingga hilang ‘courage of conviction’ menegur kerosakan.

Katanya, keadaan itu hanya akan membuatkan sang penguasa terus rakus membungkam suara rakyat yang berani tampil menegakkan keadilan dan kebenaran.

“Saya yakin pejuang kemerdekaan dahulu juga tidak mahu melihat penjajahan beralih tangan dari penjajah asing kepada penjajahan baru dalam kalangan sang penguasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2017, di sini, hari ini.

IMG_20170814_104532Hadir sama, Speaker Kerajaan Negeri, Hannah Yeoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri mahu memaknai erti kemerdekaan dengan pembangunan dan kemajuan unggul demi rasa kasih juga cinta kepada rakyat.

“Apa yang lebih penting penghayatan nilai dan semangat dizahirkan jalur gemilang untuk kita menggilap kembali semangat patriotisme serta kecintaan kepada tanah air.

“Pembangunan dilaksanakan bukan sekadar membangunkan gedung atau infrastruktur untuk rakyat tetapi sama penting dengan pembangunan jati diri bangsa,” katanya.