Categories
PBT SELANGOR

MPKj tumpu usaha tangani kesesakan trafik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merancang mewujudkan pelan khas bagi menangani masalah aliran kesesakan trafik di kawasan perbandarannya khususnya pada waktu puncak.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pelaksanaannya diusahakan menerusi pelan berperingkat hasil komitmen dan usahasama agensi tertentu di peringkat Kerajaan Negeri.

“Banyak lagi perkara yang giat dilaksanakan MPKj dalam usaha melestarikan perbandaran demi manfaat jangka panjang kepada komuniti MPKj.

“Ini termasuk pembaikan dan usaha berperingkat MPKj untuk menangani masalah kesesakan trafik di jalan utama sekitar kawasan pentadbiran kami,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, kedudukan MPKj yang strategik bersempadan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadikan MPKj sebagai kawasan pesat membangun menjurus kepada kepadatan aliran trafik.

Jalan-Reko-Kajang-Kajang-MalaysiaBeliau berkata, kepesatan itu turut mendorong kepada penambahan projek perbandaran untuk menampung permintaan warga kota.

“Selaras dengan perkembangan ini, MPKj memperkemaskan hala tuju perbandaran untuk menjadikan Kajang sebagai sebuah bandar pilihan untuk didiami.

“Bagi mencapai hasrat itu, beberapa fokus dilaksanakan termasuk meningkatkan kemudahan awam dan infrastruktur kepada masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, MPKj pelbagai kemudahan dan pembangunan setempat giat dilaksanakan perbandaran itu dalam usaha memastikan komuniti setempat mendapat manfaat berterusan.

Ia termasuk inisiatif pembangunan jaringan pengangkutan awam Kajang Mass Rapid Transit (MRT) yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan didukung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Selain itu, pembaikan kemudahan bas percuma, Bas Smart Selangor yang diperkenalkan bagi menambah baik sistem jaringan pengankutan awam, di seluruh kawasan seliaan MPKj.