Categories
NASIONAL

PAKATAN lancar risalah, serius jelas 1MDB

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) melancarkan risalah 1MDB: Skandal Rompakan Terbesar Dunia dengan tema ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ yang akan diedarkan kepada umum, pada siri jelajah penerangan.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, negara kini menanggung hutang hampir RM200 bilion dan Kerajaan Persekutuan sepatutnya melihat keupayaan kewangan negara sebelum menerbitkan hutang.

“Kalau tidak diselesaikan boleh meletakkan negara sebagai muflis. Ini memalukan, tidak pernah sejak merdeka kita tidak bayar hutang.

“Apabila pinjam, kita mesti tentukan keupayaan membayar hutang. Kita nampak Kerajaan sekarang buat hutang tanpa melihat keupayaan untuk membayarnya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pakatan Harapan di bangunan Parlimen, hari ini.

unknown (1)Risalah empat muka yang diterbitkan Sekretariat Pakatan Harapan antaranya menjelaskan berkenaan plot bermulanya hutang 1MDB, reaksi balas pimpinan PAKATAN serta apa yang boleh dilakukan dengan jumlah RM19.3 bilion wang rakyat ‘dicuri’.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, PAKATAN perlu memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak serta membentuk manifesto khas untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Kita akui amat perlu Pakatan Harapan memahami masalah dan perasaan mereka, justeru ia akan dibincang dalam satu jawatankuasa khusus dan akan mengemukakan laporan kepada Majlis Presiden yang akan bermesyuarat, pada 24 Ogos ini.

“Kita percaya masalah mereka serius. Kita ingin dengar pandangan semua pihak bagi membentuk satu manifesto khusus berkenaan mereka termasuk di negeri lain untuk pilihan raya,” katanya.